Obesiti menjadi satu masalah utama yang kian meningkat di negara ini. Ramai di antara kita lebih gemar memilih makanan segera (fast food) daripada memasak sendiri di rumah dan sudah semestinya makanan yang dimasak sendiri lebih sihat dan lebih banyak nutrisi.





Sumber rujukan yang terhad disamping kekurangan panduan yang lebih mudah, mungkin juga faktor utama mengapa ramai diantara kita masih gagal meningkatkan tahap kecerdasan badan. Panduan yang didapati di internet mungkin terlalu rumit untuk dipelajari dan menjadi lumrah bagi kebanyakan dari kita tidak gemar untuk 'berubah secara mendadak' bagi merealisasikan matlamat mereka walaupun hakikat sebenar, mereka sangat mengidamkan gaya hidup yang sihat. Usah risau, meningkatkan tahap kecerdasan anda tidak bermaksud anda perlu mengubah gaya hidup anda secara mendadak. Anda hanya perlu lebih banyak senaman, makan makanan yang lebih sihat, dan memilih gaya hidup yang lebih sihat. Malahan, anda masih boleh teruskan gaya hidup anda yang sedia ada!

Tips pertama: PEMAKANAN YANG SIHAT

Makan makanan yang sihat bukanlah bermaksud anda perlu makan sayur-sayuran sahaja. Anda masih boleh makan makanan harian anda tetapi perlu mengambilnya dalam jumlah yang sedikit sahaja. Jangan pula sampai anda kelaparan kerana DIET. Anda disarankan untuk makan lebih kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit (teknik INTERVAL). Cara ini bukan sahaja meningkatkan metabolisma badan anda (penting untuk bakar lemak badan) tetapi mengelakkan badan daripada rasa lapar. Cadangan, 6 kali sehari. 

Tips kedua : MINUMAN

Kita semua tahu, setiap hari kita perlu minum 8 hingga 10 gelas sehari. Ya, ini adalah salah satu tips yang baik untuk kecerdasan. Air akan membantu badan untuk membuang toksin dan membantu sistem perkumuhan. Anda boleh gabungkan bersama tips pertama di mana, sebelum makan minum sedikit air supaya badan cepat rasa kenyang dan dalam waktu yang sama, ambil makanan dalam kuantiti yang sedikit. Kaedah ini akan mengurangkan kadar pengambilan kalori harian anda. 

Tips ketiga: SENAMAN

Mungkin ramai di antara kita akan berhenti membaca bila mendengar perkataan SENAMAN. Anda sebenarnya tidak perlulah ke gym dan menjalani latihan untuk sukan olimpik! Anda boleh memilih alternatif lain yang sudah menjadi sebahagian dari hidup anda. sebagai contohnya, berjalan kaki. Cuba luangkan masa 10 minit hingga 30 minit sehari. Fakta menunjukkan, berjalan 10 minit hingga 30 minit sehari akan menyegarkan minda dan badan. Jika diperingkat permulaan anda tidak mampu, lakukan semampu sahaja. Anda tidak perlu memaksa diri hingga kepenatan. Lakukan peningkatan setiap hari, tambah jarak perjalanan atau tempoh 'senaman' ini pada hari berikutnya. Mudah bukan? Anda juga boleh gunakan tangga sebagai alternatif kepada penggunaan lif. Kadar pembakaran kalori (lebih banyak kalori dibakar, lebih cepat anda turun berat badan) lebih tinggi lagi. Jangan lupa cuba!


Matlamat utama asas kecerdasan ini adalah untuk mengurangkan kadar pemakanan harian (tanpa kelaparan), menambah tempoh senaman, dan memilih rutin harian yang lebih sihat. Cuba lakukannya untuk 2 minggu pertama, InsyaAllah pasti kesan ketara! Jika anda tidak percaya, mungkin rakan-rakan atau keluarga anda boleh memberikan komen tentang perubahan anda! Selamat maju jaya.